Ahad, 8 November 2009

Tugasan Kelas: Nota - Rekabentuk Kajian Tindakan

Konsep kajian tindakan

Kajian tindakan menggabungkan satu tindakan yang mempunyai kepentingan dengan satu prosedur kajian. Ia merupakan tindakan bersifat individu dan berasaskan inkuiri yang bertujuan untuk melaksanakan proses penambahbaikan dan perubahan. Kajian tindakan yang paling mudah dilakukan oleh guru adalah kajian bilik darjah (classroom research), dan proses P&P adalah dasar kepada kajian bilik darjah.

Mengapa guru perlu membuat kajian tindakan

Guru perlu membuat kajian tindakan untuk meningkatkan pengajarannya atau rakan setugas, untuk menguji teori pendidikan secara praktikal, atau untuk menilai dan melaksanakan prosedur sekolah. Dengan membuat kajian tindakan, guru akan lebih bertanggungjawab terhadap tindakan mereka dan mewujudkan persekitaran yang bersesuaian untuk proses P&P. Guru juga perlu membuat kajian tindakan untuk meningkatkan profesionalisme guru kerana melalui kajian untuk memperbaiki diri akan menjadikan guru lebih profesional dalam tindakan mereka.


Pengertian Tentang Kajian Tindakan

Kajian Tindakan juga tergolong dalam penyelidikan pendidikan. Walau bagaimanapun terdapat beberapa perbezaan antara Kajian Tindakan dengan penyelidikan pendidikan tradisi atau konvensional yang selalu dilaksanakan dalam pendidikan. Perbezaan yang dihuraikan di sini dibataskan kepada beberapa aspek kajian tradisi yang didapati boleh menimbulkan kekeliruan dalam memahami Kajian Tindakan. Aspek-aspek tersebut merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan peranan penyelidik, tujuan kajian, sampel kajian, serta menggunakan dapatan untuk membuat generalisasi.

Kajian Tindakan adalah kajian berbentuk kualitatif. Kajian kualitatif menggunakan data dalam bentuk fakta asal seperti dilihat, didengar atau dibaca. Data berbentuk statistik (nombor) juga digunakan tetapi tidak menjadi cacat sesuatu Kajian Tindakan yang tidak menggunakan data berbentuk itu.

Peraturan yang perlu dipatuhi apabila menjalankan Kajian Tindakan ialah keempat-empat langkah asas iaitu merancang, bertindak, memerhati dan mereflek yang dilakukan secara berurutan dalam bentuk gelungan. Masalah yang dialami oleh guru-guru yang menjalankan Kajian Tindakan di sekolah dijadikan asas dalam membuat huraian dan cadangan.

Merancang
Aspek perancangan merupakan aspek yang paling penting sebelum memulakan kajian kerana dari proses perancangan ini, penyelidik dapat memahami perkara-perkara yang patut diambil perhatian sebelum dilaksanakan. Perancangan yang rapi akan menentukan kajian yang dijalankan dapat berjalan dengan teratur, terancang dan sistematik untuk memudahkan pencapaian objektif kajian yang telah ditetapkan.

Bertindak
Setelah peringkat perancangan P&P dijalankan mengikut langkah-langkah pengajaran yang telah disediakan, langkah seterusnya ialah melaksanakan tindakan (bertindak) dalam melaksanakan aktiviti yang dirancangkan di dalam bilik darjah. Pelaksanaan aktiviti lazimnya dilakukan berdasarkan analisis data yang telah dikumpulkan oleh guru sebelum memulakan P&P di dalam kelas. Dalam onteks ini, keberkesanan aktiviti masih diperingkat tidak dapat dipastikan lagi.

Lazimnya, aktiviti yang dilaksanakan adalah melalui proses 'cuba-jaya', iaitu pelaksanaan aktiviti yang memerlukan penambahbaikan selepas aktiviti selesai dilaksanakan. Sekiranya pelaksanaan peringkat pertama tidak berjaya, aktiviti yang dirancang itu perlu diperbaiki atau diubahsuai dan dilaksanakan dalam pelajaran seterusnya.Proses cuba-jaya dilaksanakan berterusan sehingga berlaku perubahan iaitu pencapaian murid meningkat ke tahap yang lebih baik dari pada masa lepas.

Pemerhatian
Dalam peringkat pemerhatian yang dijalankan ini merupakan salah satu kaedah pengumpulan data. Hasil dapatan kajian atau rumusan tentang kajian yang dijalankan adalah bergantung kepada data-data yang telah dikumpulkan sepanjang kajian tersebut dijalankan.

Data adalah bukti kepada kebenaran tentang sesuatu kajian. Sesuatu rumusan atau kenyataan yang dibuat tanpa berlandaskan data adalah merupakan andaian. Data boleh dikutip secara berpasukan melalui guru sebagai penyelidik, murid dalam darjah yang terlibat atau rakan guru.

Oleh itu, semasa pelaksanaan pengumpulan data, perkara utama yang harus di ambil kira oleh pengkaji ialah dari segi langkah pemerhatian supaya proses pengumpulan data berjalan dengan baik dan menepati keadaan yang sebenar. Adalah penting bagi pengkaji menentukan cara dan alat pengumpulan data sebelum melaksanakan pemerhatian terhadap kajian.

Refleksi
Di peringkat refleksi, penyelidik cuba merumuskan apa yang telah difahami atau dipelajari tentang proses P&P berkaitan dengan amalan mengajarnya. Semasa mengimbas kembali pelaksanaan proses P&P, penyelidik cuba menilai, menghurai dan memikirkan dengan menyeluruh segala aspek berkaitan dengan permasalahan P&P serta reaksi penyelidik dan murid semasa kajian dilakukan. Selain daripada menghuraikan proses P&P, guru juga boleh menyelami perasaannya sendiri tentang kesulitan, kejayaan, kelemahan, keseronokan, keinsafan dan sebagainya setelah melaksanakan kajian.



Model-model Kajian Tindakan














Model 1: Kemmis’s action research spiral– model ini dikatakan terlalu ringkas dan boleh menimbulkan tanggapan bahawa proses kajian tindakan adalah sesuatu yang mudah dan jelas. Proses kajian tindakan ini bermula dengan guru menjalankan refleksi ke atas sesuatu isu pengajaran dan pembelajaran yang hendak ditangani.

Seterusnya, guru perlu menyediakan pelan yang sesuai untuk mengatasi masalah yang dihadapinya. Guru melaksanakan pelan yang dihasilkan dan dalam proses pelaksanaannya guru perlu memerhati kemajuan tindakan yang dijalankan.

Keseluruhan pelaksanaan itu disifatkan sebagai Gelungan Pertama (Cycle 1). Jika masalah itu tidak dapat diselesaikan, maka guru bolehlah memulakan proses semula ke Gelungan Kedua (Cycle 2) sehinggalah masalah itu diselesaikan.

Pada Gelungan Kedua guru perlu membuat refleksi terhadap pelan tindakan beliau. Satu kritikan terhadap model ini ialah ia sentiasa berlanjutan dan tiada penghujungnya (finality).

Oleh itu, seseorang guru yang menjalankan kajian tindakan metilah bersifat pragmatik dan memastikan bahawa pelan tindakan beliau selaras dengan kurikulum yang hendak disampaikan.














Model 2: Ebbutt’s model – proses kajian tindakan adalah kitaran berturutan di mana maklumbalas boleh berlaku di dalam dan di antara kitaran tersebut. Ia satu bentuk inkuiri refleksi kendiri yang dilakukan secara kolektif. Ianya merupakan suatu pengkajian yang sistematik oleh sekumpulan pengamal terhadap usaha-usaha untuk mengubah dan memperbaiki amalan pendidikan melalui tindakan praktis mereka sendiri serta refleksi terhadap kesan atau akibat tindakan tersebut.




















Model 3: Elliott’s action research model – lebih mendalam berbanding model Kemmis serta menunjukkan proses yang terlibat adalah lebih sukar dan ‘reconnaissance’ (tinjauan awal untuk mendapat idea umum) perlu sentiasa dilakukan.














Model 4: McKernan’s action research model – memperkenalkan model ‘proses masa’ yang menyarankan agar ‘masalah’ kajian tindakan ini tidak menjadi terlalu terikat dengan masa

0 ulasan: